Ultra-Trail bawa dunia ke Taiping, limpahan ekonomi semakin terasa
TAIPING – Penganjuran Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026 bukan sahaja menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari 56 negara, malah memberi limpahan positif kepada ekonomi tempatan di bandar warisan Taiping.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan berkata, penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu selari dengan usaha membawa nama Taiping ke pentas dunia, selain menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap keunikan bandar bersejarah berkenaan.
“Pada hari ini bukan sahaja kita merayakan UTMB World Series, tetapi ini juga satu hari untuk bandar Taiping.

“Kita menyambut lebih daripada 3,000 peserta dari 56 negara yang telah berkumpul di bandar Taiping, bandar warisan ini,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan tepat dengan hala tuju yang dirancang sejak beberapa tahun lalu, iaitu membawa dunia ke Taiping dan pada masa sama membawa Taiping ke mata dunia.
“Lebih separuh daripada peserta yang menyertai acara berkenaan merupakan rakyat Malaysia, manakala kehadiran peserta dari luar negara turut memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan.
“Setiap kali kita adakan program sebesar ini, memang semua hotel dan tempat penginapan sudah penuh.
“Ini merupakan satu impak yang cukup bagus untuk ekonomi tempatan, bukan sahaja kepada sektor penginapan tetapi juga penjaja di sekitar bandar Taiping,” katanya lagi.
Beliau berkata, penganjuran acara berskala antarabangsa itu turut membuka peluang kepada peniaga tempatan untuk menjana pendapatan apabila ramai penjaja mengambil kesempatan berniaga di sekitar kawasan berlangsungnya acara.
Dalam pada itu, Ong berkata Taiping akan terus menjadi lokasi pelbagai program bertaraf antarabangsa sepanjang tahun menerusi kerjasama kerajaan negeri, agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Bandar Taiping ini sepanjang tahun memang banyak program antarabangsa. Sebelum ini kita ada pertandingan Muay Thai antarabangsa, Taiping Half Marathon dan pancaragam antarabangsa.
“Selepas ini kita ada Heritage Ride dan sebagainya. Jadi sepanjang tahun memang kita aturkan dan bekerjasama dengan NGO serta agensi untuk mengadakan banyak program antarabangsa,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








