Kanak-kanak perempuan maut disyaki didera, jiran dakwa kerap dengar tangisan
TAIPING – Polis mengesahkan menerima maklumat daripada jiran yang mendakwa sering mendengar tangisan seorang kanak-kanak perempuan sebelum mangsa ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat penderaan dalam kejadian di Taman Sungai Mas, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abdul Malek Ismail berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di rumah mangsa bersama pasukan forensik bagi membantu siasatan.
Menurutnya, hasil keterangan awal mendapati jiran kerap mendengar tangisan dari rumah berkenaan, dipercayai mangsa dipukul.
“Dalam pemeriksaan dan lawatan ke lokasi, polis turut mengambil keterangan beberapa jiran berhampiran.
“Mereka memaklumkan sering terdengar tangisan kanak-kanak dari rumah itu seperti didera,” memetik Awani online.
Mangsa yang berusia lapan tahun sembilan bulan dilaporkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Taiping dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Abdul Malek berkata, mangsa ditempatkan di Zon Merah pada jam 12.43 tengah hari sebelum diberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 30 minit.
“Bagaimanapun, mangsa tidak menunjukkan tanda pemulihan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.12 tengah hari,” katanya lagi.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badan mangsa.
“Keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan hentakan objek tumpul,” katanya lagi.
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Menurut beliau, empat individu terdiri daripada ibu kandung, bapa tiri serta datuk dan nenek mangsa berusia antara 27 hingga 53 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 27 Mac bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Difahamkan, mangsa merupakan anak sulung daripada lima beradik.
Kes tragis itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan masyarakat terhadap isu penderaan kanak-kanak dan keperluan tindakan lebih tegas bagi melindungi golongan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








