AGAMABERITA SEMASA

Pengurusan cekap bantu TH kekalkan kos haji empat tahun berturut-turut

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kos haji dan kadar Bayaran Haji jemaah Muassasah bagi musim haji 1448H/2027M pada kadar sama untuk tahun keempat berturut-turut, meskipun berdepan tekanan inflasi, ketidaktentuan ekonomi global serta peningkatan kos kemudahan di Tanah Suci.

Menurut TH, pihaknya memperuntukkan sekitar RM234 juta bagi Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) secara bersasar untuk meringankan beban kewangan bakal jemaah daripada kumpulan B40 dan M40.

TH berkata, pengekalan kos haji pada kadar RM33,300 seorang dan kadar Bayaran Haji seperti tahun sebelumnya dicapai hasil tadbir urus cekap, perancangan awal, rundingan strategik serta perjanjian jangka panjang dengan penyedia perkhidmatan.

Dalam masa sama, TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) secara bersasar bagi meringankan beban kewangan bakal jemaah daripada kumpulan B40 dan M40, dengan jumlah terkumpul bantuan HAFIS sejak diperkenalkan pada 2001 kini mencecah lebih RM2.8 bilion.

Bagi jemaah B40 yang menerima bantuan Kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kadar Bayaran Haji ditetapkan sebanyak RM15,000 atau 45 peratus daripada Kos Haji selepas mengambil kira HAFIS sebanyak RM17,300 dan bantuan Kerajaan RM1,000 seorang.

Bakal jemaah M40 pula dikenakan Bayaran Haji RM23,500 dan menerima HAFIS sebanyak RM9,800 atau 29 peratus daripada kos haji.

Sementara itu, jemaah T20 dengan pendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan perlu membayar Kos Haji penuh sebanyak RM33,300 seorang.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, kemampuan TH mengekalkan kos haji, menyediakan Bantuan Kewangan Haji dan pada masa sama meningkatkan kualiti perkhidmatan turut disokong kedudukan institusi yang semakin kukuh hasil pengurusan kewangan berdisiplin, pengurusan risiko yang dipertingkatkan dan penambahbaikan tadbir urus secara berterusan.

Tambah beliau, kekuatan kewangan TH perlu dilihat dalam konteks amanah yang lebih besar kerana setiap keputusan perlu mengimbangi kepentingan jemaah hari ini dengan kepentingan jutaan pendeposit yang sedang menabung bagi tujuan haji pada masa hadapan.

“Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kuota rasmi jemaah haji Malaysia sebanyak 31,600 orang. TH merakamkan penghargaan kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi atas kerjasama yang diberikan.

“Penetapan lebih awal memberi ruang kepada bakal jemaah membuat persediaan kewangan, kesihatan dan ilmu dengan lebih teratur. Pada masa yang sama, ia menyokong usaha TH membudayakan konsep istito’ah supaya persediaan menunaikan haji bermula jauh lebih awal daripada tarikh menerima tawaran,” katanya.

Baca juga : TH keluar surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah mulai 21 September

TH berkata, pihaknya akan terus mengutamakan penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi kepada jemaah haji Malaysia menerusi penambahbaikan berterusan, selaras dengan pengiktirafan Diamond Labaytum Award yang diraih TH bagi dua tahun berturut-turut.

Pengiktirafan berkenaan merangkumi aspek kecemerlangan operasi, kebajikan jemaah, bimbingan haji, perkhidmatan kesihatan, logistik, inovasi digital dan keseluruhan pengalaman jemaah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, hampir 90 peratus daripada kos haji adalah berkaitan penginapan, penerbangan dan perkhidmatan di Tanah Suci.

“TH berjaya mengekalkan kos haji dengan mengekang kenaikan kos penerbangan melalui kontrak jangka panjang selama lima tahun bagi mengawal risiko ketidaktentuan harga demi kepentingan jemaah.

“Cabaran besar kini adalah peningkatan harga dan kos pembekalan minyak susulan konflik Timur Tengah,” katanya.

TH juga dapat menurunkan kos penyewaan hotel baharu yang lebih berkualiti melalui rundingan terus, sekali gus mengekang kesan peningkatan inflasi dan kos perkhidmatan atau kemudahan baharu di Tanah Suci.

“Pencapaian ini penting bagi TH kerana ia bukan sekadar soal mengekalkan angka, tetapi bagaimana kita merancang lebih awal, mengurus risiko dan menggunakan kecekapan operasi TH untuk memberikan nilai terbaik kepada jemaah,” tambah beliau.

Dalam pada itu, surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah akan dikeluarkan secara berperingkat mulai 21 September ini.

Bakal haji diingatkan supaya memastikan simpanan di TH sekurang-kurangnya RM15,000 bagi melayakkan diri menerima surat tawaran haji, selain perlu lulus pemeriksaan kesihatan.

TH akan mula menganjurkan Kursus Asas Haji di lebih 200 masjid di seluruh negara mulai 25 September 2026 bagi membantu bakal jemaah membuat persediaan ilmu sebelum menunaikan ibadah haji.

Bakal haji juga dinasihatkan supaya mengemas kini maklumat peribadi dan membuat semakan giliran melalui THiJARI atau cawangan TH terdekat seperti peringatan-peringatan awal yang dikeluarkan sebelum ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button