
Caruman PERKESO 40,000 petugas agama dibiayai kerajaan, bukan wang pendeposit TH
KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa pembiayaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 petugas agama di seluruh negara tidak menggunakan wang simpanan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, keseluruhan kos inisiatif itu ditanggung melalui peruntukan khas kerajaan, manakala TH hanya berperanan menguruskan pelaksanaannya.
“Dakwaan bahawa simpanan jemaah haji digunakan untuk membiayai caruman berkenaan adalah tidak benar dan bersifat spekulatif.
“Ingin ditegaskan secara nyata bahawa tiada dana pendeposit Tabung Haji (TH) yang digunakan bagi pembiayaan caruman ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Zulkifli, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan petugas masjid dan pendidik agama yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan syiar Islam kepada masyarakat.
“Bantuan caruman ini juga melibatkan imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru takmir bagi memastikan golongan berkenaan mendapat perlindungan sosial sewajarnya.
“Kerajaan akan terus memastikan pengurusan amanah TH dilaksanakan dengan berintegriti, telus dan mematuhi prinsip Syariah.
“Usaha murni memartabatkan kebajikan para petugas masjid dan guru takmir ini akan terus dilaksanakan tanpa kompromi, demi memastikan kemakmuran institusi agama dan keberkatan pembangunan ummah di bumi Malaysia sentiasa terpelihara,” tambahnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat bahawa kerajaan akan menanggung sepenuhnya caruman PERKESO bagi 40,000 petugas agama melalui TH.
Dalam pembentangan sama, Anwar turut mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia yang akan melibatkan tokoh ulama antarabangsa, termasuk Syeikh Ali Gomaa dan Syeikh Idris al-Fasi.
Kerajaan juga memperkenalkan Sijil Turath Malaysia bagi menyokong kelangsungan institusi pondok serta memelihara tradisi keilmuan Islam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








