Masyarakat diingat amal prinsip tabayyun, bukan terus menghukum – Dr Zulkifli Hasan
PUTRAJAYA – Orang ramai diingatkan supaya mengamalkan prinsip tabayyun serta tidak tergesa-gesa menghukum berdasarkan maklumat yang tular di media sosial, khususnya berkaitan pelantikan kepimpinan dalam pentadbiran hal ehwal Islam negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, sikap menyemak, mengesahkan dan menilai sesuatu isu secara adil amat penting bagi mengelakkan salah faham serta persepsi negatif yang tidak berasas.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan keputusan Perdana Menteri melantik Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai satu keputusan yang dibuat melalui pertimbangan yang bijaksana, selari dengan usaha memperkukuh pengurusan dan agenda hal ehwal Islam di negara ini.
“Dalam apa juga isu, kita perlu melihat dari sudut yang lebih adil dan menapis maklumat dengan beretika supaya penilaian yang dibuat tepat, adil dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu membabitkan timbalannya itu selepas menerima kunjungan hormat pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara di pejabatnya di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.
Isu berkaitan Marhamah sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen susulan penularan maklumat di media sosial termasuk kecaman segelintir pihak.
Marhamah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan mengangkat sumpah sebagai Senator pada 13 Disember lalu di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Pelantikan itu dibuat susulan pengumuman rombakan Kabinet Kerajaan MADANI oleh Perdana Menteri yang menyaksikan pertukaran portfolio beberapa menteri dan timbalan menteri termasuk pelantikan muka baharu.
Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan membentuk pasukan kerja yang bergerak seiring dengan agenda negara seperti digariskan Perdana Menteri.
Beliau berkata, pertemuan dan perbincangan bersama Marhamah telah diadakan bagi membuka ruang kepada pembentukan pasukan yang mantap dalam memperkukuh pengurusan hal ehwal Islam.
“Isu berkaitan Marhamah sebenarnya telah selesai dari sudut agama selepas perbincangan dan penyelesaian dicapai bersama pihak berautoriti, namun persepsi negatif masih wujud akibat maklumat yang tidak difahami sepenuhnya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







