Jangan biar ketakutan rampas peluang, rahmat Allah – Marhamah
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli mengingatkan masyarakat supaya tidak membiarkan ketakutan menjadi penghalang untuk merebut peluang, melakukan kebaikan dan menikmati nikmat yang sedang dikurniakan Allah.
Menurut beliau, ramai menganggap ketakutan terbesar dalam hidup ialah kemiskinan, namun hakikatnya ketakutan untuk melakukan lebih seperti bersedekah, membantu, berusaha, berkorban atau mengejar impian sering menjadi punca seseorang kehilangan rezeki, pahala dan peluang.
“Bukan kerana kita tidak mampu, tetapi kerana kita takut.
“Kadang-kadang syaitan tidak mengajak manusia melakukan perkara buruk, tetapi hanya membuatkan kita berhenti daripada melakukan perkara yang lebih baik,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Marhamah berkata, antara bisikan yang sering membataskan manusia ialah rasa cukup dengan apa yang ada, takut mengambil risiko dan enggan melangkah melepasi kebiasaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa banyak perkara yang dianggap mustahil sebenarnya perlu dilihat dari sudut kekuasaan Allah, bukan semata-mata kemampuan manusia.
Mengambil ibrah daripada kisah Nabi Ibrahim AS yang diselamatkan daripada api, beliau berkata, Allah tidak semestinya menghilangkan ujian, sebaliknya boleh mengubah cara seseorang melihat dan menghadapi ujian tersebut.
“Kadang-kadang Allah tidak mengubah keadaan, tetapi Allah mengubah hati kita sehingga keadaan itu tidak lagi menghancurkan kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan keterujaan untuk bertemu ribuan wanita menerusi program Melangkah Bersama MADANI: Wanita Beriman, Wanita Bertahan yang akan berlangsung pada esok di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar mahu menyuntik semangat kepada peserta, tetapi membantu mereka membina cara berfikir baharu dalam mengurus ketakutan, kehilangan, harapan dan mendekatkan diri kepada Allah.
“Wanita beriman bukan wanita yang tidak pernah takut, tetapi wanita yang terus melangkah walaupun sedang takut.
“Jangan biarkan ketakutan sampai lebih awal daripada rahmat Allah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








