Tuanku Muhriz tidak terima jemputan Mesyuarat Majlis Raja-Raja – Istana Negeri Sembilan
SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak menerima sebarang surat atau warkah jemputan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan berlangsung di Istana Negara mulai esok hingga Khamis ini.
Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan hari ini menafikan laporan media yang mendakwa Tuanku Muhriz menerima jemputan tersebut.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, Tuanku Muhriz tidak memerlukan jemputan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“Baginda tidak menerima surat atau warkah jemputan daripada Pengerusi Mesyuarat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah untuk menghadiri mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja (Pre-Council Meeting).
“Namun demikian, Tuanku sudah memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan akan memberikan tumpuan kepada urusan negeri di Negeri Sembilan, iaitu Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tiada sebarang kenyataan media pernah dikeluarkan oleh pihak Istana Negeri Sembilan berhubung perkara berkenaan kepada mana-mana pihak atau media.
Terdahulu, beberapa media dalam talian melaporkan Tuanku Muhriz dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung dari 13 hingga 15 Oktober, sekali gus menunjukkan baginda kekal menduduki takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








