Hasrat adili Piala Parlimen tidak kesampaian, bekas pengadil kebangsaan maut kemalangan
KOTA MARUDU – Hasrat bekas pengadil bola sepak kebangsaan yang juga seorang guru untuk mengadili kejohanan Piala Parlimen YB Munirah 2026 di Kota Belud tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia selepas hampir 19 jam bertarung nyawa akibat kemalangan jalan raya, semalam.
Hilton Soibik, 38, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salaping 2, disahkan meninggal dunia pada pukul 9.24 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang semalam, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk patah kaki, tangan dan bahu kanan, selain kecederaan pada bahagian perut serta kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu Toyota Hilux dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Kinabalu.
Katanya, ketika melalui jalan selekoh dan mendaki bukit di Jalan Manggaris 2, di sini, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Toyota Hilux berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah lori tangki dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kota Marudu.
“Akibat pertembungan itu, mangsa cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan,” katanya memetik laporan Metro Online.
Beliau berkata, pemandu lori tangki berusia 55 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, keadaan jalan ketika kejadian dilaporkan basah dan licin berikutan hujan.
Simun berkata, kes yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) akta sama susulan kematian mangsa.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Facebook menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergian bekas pengadil kebangsaan itu.
Menurut FAM, Hilton pernah mengadili beberapa pertandingan bola sepak peringkat kebangsaan termasuk Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Wanita Kebangsaan (LWN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








