Pickleball CBP bersama media perkukuh hubungan, NST ungguli pertandingan
KUALA LUMPUR – Hubungan antara Co-opbank Pertama (CBP) dan pengamal media terus diperkukuh menerusi penganjuran Pertandingan Pickleball CBP Bersama Media 2026 yang berlangsung di Premier KL Pickleball, Taman Setiawangsa, di sini, semalam.
Pertandingan itu menyaksikan pasukan NST muncul juara, diikuti Bernama di tempat kedua, manakala TV9 menduduki tempat ketiga dalam acara yang menghimpunkan wakil CBP dan pengamal media itu.
Tempat keempat menjadi milik RTM Slayer, diikuti FMT Pickly di tempat kelima dan Sinar Strykers di kedudukan keenam.
Penganjuran tersebut merupakan kesinambungan Karnival Sukan CBP Bersama Media yang sebelum ini mengetengahkan acara boling dan bola sepak sebagai aktiviti tahunan bagi mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.
Sebanyak 20 pasukan beregu lelaki dan 16 pasukan beregu wanita menyertai pertandingan berkenaan, dengan penyertaan terdiri daripada warga CBP serta rakan media.
Ketua Jabatan Pengurusan Strategik (SMD) CBP, Syaiful Arief Syah Mohamed Said berkata, pertandingan itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat serta membuat liputan mengenai aktiviti dan inisiatif bank berkenaan.
Menurutnya, sokongan media selama ini memainkan peranan penting dalam memperkenalkan usaha, pencapaian dan perkembangan CBP kepada masyarakat.
Beliau berkata, aktiviti sukan seumpama itu turut menyediakan ruang untuk warga CBP dan pengamal media berinteraksi dalam suasana lebih santai, di luar urusan rasmi.
“Ia memberi peluang kepada kita untuk berinteraksi di luar urusan rasmi, sambil mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang telah terjalin selama ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas pemilihan pickleball sebagai acara pertandingan, Syaiful Arief Syah berkata, sukan itu semakin mendapat perhatian masyarakat dan menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan, termasuk lelaki serta wanita.
Katanya, aktiviti sedemikian bukan sahaja membantu memperkukuh hubungan profesional, malah menggalakkan peserta mengamalkan gaya hidup sihat menerusi kegiatan fizikal.
Co-opbank Pertama ditubuhkan pada 7 Jun 1950 sebelum diiktiraf sebagai co-opbank oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia pada September 2014.
CBP kini mempunyai 35 cawangan termasuk outlet Ar-Rahnu di seluruh negara, selain menawarkan pelbagai produk perbankan patuh Syariah termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








