Luangnitikul ungguli Kejohanan Golf Wanita Amatur ASEAN
RAWANG – Pemain muda dari Thailand, Namo Luangnitikul muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Wanita Amatur Terbuka Malaysia ASEAN edisi ke-39 yang berlangsung selama tiga hari di Templer Park Country Club.
Kejohanan yang melabuhkan tirai pada 31 Julai lalu menyaksikan Luangnitikul mencatat skor keseluruhan empat bawah par 212 selepas tiga pusingan dengan catatan 72, 66 dan 74, mengatasi wakil negara, Foong Zi Yu yang meraih tempat kedua dengan catatan 216 pukulan (71-72-73).
Kejohanan tahunan berprestij itu dianjurkan oleh Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) dengan kerjasama Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersempena Pengerusi ASEAN Malaysia 2025.
Seramai 89 peserta dari lapan negara ASEAN serta tujuh negara rantau Asia Pasifik mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang menjadi platform penting bagi pembangunan bakat dan pendedahan pemain wanita amatur tempatan di peringkat antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir menyempurnakan majlis penutup turut menyampaikan trofi kejuaraan kepada Luangnitikul sambil menyifatkan kejohanan itu sebagai cerminan komitmen Malaysia dalam memperkukuh solidariti serantau melalui sukan.
“Penganjuran kejohanan ini seiring dengan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang menekankan kepada kerjasama serantau dan perpaduan rakyat melalui diplomasi sukan. Ia bukan sahaja membuka ruang kepada pemain muda untuk menonjolkan bakat, malah memperkukuh hubungan antara negara-negara ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kejohanan tersebut turut memberi fokus kepada pemupukan semangat kesukanan, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan peserta yang hadir dari pelbagai latar belakang, selari dengan usaha mengukuhkan kerjasama serantau dalam bidang sukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








