LUAR NEGARA

Safiya wanita Muslim, berhijab pertama dilantik Datuk Bandar Sheffield

SHEFFIELD – Sejarah tercipta di United Kingdom (UK) apabila seorang wanita Muslim berhijab, Safiya Saeed, dilantik sebagai Datuk Bandar Sheffield ke-128 menjadikan beliau wanita Muslim pertama berketurunan Afrika dan berhijab memegang jawatan tertinggi sivik di bandar itu.

Safiya yang berasal dari Somaliland dan membesar di Sheffield sejak 1985, merupakan aktivis sosial yang aktif memperjuangkan hak golongan muda serta komuniti minoriti di bandar raya berkenaan.

Safiya bersama anak lelakinya ketika dilantik sebagai Datuk Bandar Sheffield.

Pelantikan bersejarah itu disambut meriah dalam satu majlis rasmi yang dihadiri kenamaan, rakan pentadbiran serta ahli keluarga dari pelbagai negara termasuk dari tanah kelahirannya.

“Saya berdiri di sini dengan penuh rasa bangga dan syukur. Ini bukan hanya satu penghormatan buat diri saya, malah satu amanah besar untuk terus menyumbang kepada komuniti yang saya cintai,” katanya dalam ucapan pelantikan yang dipetik portal Horn Diplomat.

Safiya sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Datuk Bandar serta Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Timur Laut Majlis Bandaraya Sheffield.

Beliau juga pengasas organisasi Reach Up Youth yang memperjuangkan pembangunan remaja dari aspek kepimpinan, kesihatan mental dan keyakinan diri, khususnya dalam kalangan komuniti kurang berkemampuan dan etnik minoriti.

Mengangkat tema ‘Connecting Sheffield’ sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau bertekad untuk menyatukan pelbagai komuniti, sektor awam dan swasta serta generasi berbeza dalam usaha membina Sheffield yang lebih inklusif dan progresif.

“Sudah hampir 40 tahun saya menetap di bandar ini. Sheffield adalah rumah saya dan saya mahu setiap penduduk merasakan mereka juga dimiliki oleh bandar ini,” katanya.

Krisis sosial, jurang antara kaum serta kekurangan ruang dialog antara agama menjadi keprihatinan utama beliau.

Safiya juga berhasrat menjadikan Sheffield sebagai model perpaduan dalam kepelbagaian.

Pelantikan beliau bukan sahaja memberi inspirasi kepada penduduk tempatan, malah turut menyentuh hati komuniti diaspora di seluruh dunia khususnya masyarakat Afrika Timur, Muslim dan warga kulit hitam yang melihatnya sebagai simbol harapan, keterangkuman dan kemajuan.

Kejayaan Safiya menjadi lambang sebenar wajah Britain moden yang meraikan kepelbagaian budaya dan agama dalam semangat harmoni serta perpaduan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button