Kongsi apa yang kita tahu, jangan reka cerita di sebalik gambar tular – PHM
KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya tidak menambah atau mereka-reka cerita yang belum disahkan ketika berkongsi gambar berkaitan penderitaan kanak-kanak dalam konflik di Gaza.
Peringatan itu disampaikan Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di Facebook mengenai gambar yang kini tular dengan kapsyen ‘Lone toddler in Gaza’.
Ia memaparkan seorang kanak-kanak kecil terbaring di atas tanah sambil memegang botol.
Menurut PHM, gambar berkenaan sememangnya menyayat hati, namun orang ramai tidak seharusnya membuat kesimpulan bahawa kanak-kanak itu kehilangan ibu bapa atau ditinggalkan hanya berdasarkan sekeping gambar.
“Jangan kata dia kehilangan ibu bapa. Jangan kata dia ditinggalkan.
“Jangan cipta kronologi hanya kerana satu gambar kelihatan menyayat hati,” katanya.
Bagaimanapun, PHM berkata satu perkara yang tidak memerlukan sebarang andaian ialah kanak-kanak merupakan antara golongan paling terdedah dalam peperangan dan krisis kemanusiaan.
“Mereka tidak memilih untuk dilahirkan di tengah konflik. Mereka tidak memahami politik, sempadan atau siapa yang sedang bertelagah.
“Mereka cuma tahu lapar, haus, takut dan mencari orang dewasa yang sepatutnya melindungi mereka,” jelasnya.
Sehubungan itu, PHM mengingatkan masyarakat supaya memastikan empati ketika berkongsi kandungan berkaitan konflik turut disertai tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat yang tepat.
“Kongsi apa yang kita tahu. Nyatakan apa yang belum disahkan.
“Kerana penderitaan sebenar tidak memerlukan cerita tambahan untuk membuatnya lebih tragik,” tegasnya.
PHM berkata, dalam situasi peperangan, kanak-kanak antara golongan yang paling terkesan dan turut menanggung akibat konflik yang bukan pilihan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








