‘Kami seperti anjing yang mengejar tulang’ – Penduduk Gaza
GAZA CITY – “Kami seperti anjing yang mengejar tulang. Kenapa mereka melemparkan bantuan begitu? Kami tidak mahu mereka membantu kami dengan cara itu.”
Demikian kata-kata Rana Attia, seorang pelarian Palestin di Gaza kepada al Jazeera, hari ini.
Operasi kemanusiaan di Gaza diteruskan menerusi pengguguran udara oleh beberapa negara, namun sering kali bantuan yang dijatuhkan rosak apabila terhempas semasa mendarat.
Penduduk terpaksa mengais pasir untuk mendapatkan sisa makanan dan mengutip apa sahaja yang mampu diselamatkan dari tanah.
Sementara itu, seorang lagi pelarian, Eslam al-Telbany berkata, dia terpaksa berlari mendapatkan bantuan yang dijatuhkan dari udara.
“Saya pergi dan anak-anak saya berdoa agar saya pulang dengan membawa makanan. Mereka tidak makan atau minum apa-apa selama dua hari.
“Ini benar-benar meremukkan hati saya apabila mereka menunggu saya memberi mereka makan,” katanya sambil menangis.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 98 orang terbunuh manakala 1,079 lagi cedera akibat serangan Israel dalam tempoh 24 jam lalu.
Angka itu termasuk 39 orang yang terbunuh ketika sedang menunggu bantuan makanan.
Berdasarkan perkembangan ini, jumlah korban sejak serangan bermula pada Oktober 2023 telah meningkat kepada 60,430 orang, manakala 148,722 lagi cedera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







