Majlis Keselamatan PBB lulus resolusi Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza
Turut luluskan resolusi bagi penubuhan pasukan pentadbiran peralihan
NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan satu resolusi bagi penubuhan pasukan pentadbiran peralihan serta Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza, yang membayangkan “laluan boleh dipercayai” ke arah pembentukan negara Palestin.
Resolusi yang digubal oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada pelan damai 20 perkara Presiden Donald Trump itu diluluskan melalui undian 13-0, hari ini (waktu tempatan), lapor al-Jazeera.
Sebelum ini, negara-negara Arab dan Muslim lain telah menyatakan minat untuk menghantar pasukan bagi misi antarabangsa sambil menegaskan bahawa mandat PBB adalah syarat utama penyertaan mereka.
Atas permintaan itu, AS memasukkan terma yang lebih jelas mengenai penentuan nasib sendiri rakyat Palestin dalam draf resolusi berkenaan bagi memastikan ia diluluskan.
Sementara itu, Menteri Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin berkata, penubuhan pasukan antarabangsa di Gaza dan pembentukan negara Palestin pada masa depan adalah ‘langkah pertama diperlukan’ dalam laluan panjang menuju keamanan berpanjangan.
Beliau yang kini berada di Manila, Filipina berkata, langkah itu penting kerana ia membolehkan perbincangan lanjut dilaksanakan.
“Resolusi Majlis Keselamatan PBB ini adalah langkah pertama dalam perjalanan panjang menuju keamanan. Langkah ini diperlukan kerana kita tidak dapat memulakan apa-apa sebelum ada gencatan senjata.
“Kami tahu bahawa setiap hari penangguhan bermakna lebih banyak pembunuhan rakyat Palestin,” kata Shahin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








