BERITA SEMASADALAM NEGERI

Dr Alauddin dedah layanan kejam tentera Israel terhadap aktivis FFC

SEPANG – Kekejaman tentera Israel terus terserlah apabila aktivis misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Miles to Gaza (TMTG) mendedahkan ada peserta antarabangsa diseret sejauh 200 meter dan dipaksa melutut selama sejam dengan tangan dilipat ke belakang hingga hampir patah.

Perkara itu didedahkan Prof. Emeritus Datuk Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, aktivis Misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Miles to Gaza (TMTG), selepas tiba di tanah air hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku selepas kapal yang dinaiki mereka ditahan rejim Zionis di perairan antarabangsa berhampiran Gaza, sebelum semua aktivis dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan kemudiannya ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.

“Ada antara kami diseret keluar dari kapal selepas hampir 14 jam ditahan di tengah laut.

“Mereka (tentera Israel) mengarahkan kami melutut atas jalan batu selama sejam dengan tangan diikat ke belakang. Namun, ada aktivis lain lebih malang apabila dipukul dan ditendang,” katanya.

Baca juga : Delegasi Freedom Flotilla terima telefon baharu sumbangan PM

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan kepulangan aktivis FFC x TTMG di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Dr Alauddin yang mengetuai sembilan sukarelawan Malaysia berkata, walaupun berdepan kekasaran fizikal, beliau dan rakan aktivis tetap tenang serta tidak menyesal menyertai misi berkenaan kerana apa yang dilalui terlalu kecil berbanding penderitaan rakyat Gaza.

Menurutnya, sepanjang misi itu tiada sebarang cubaan sabotaj berlaku, malah semua peserta disaring ketat oleh penganjur antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kesatuan pasukan sentiasa terjamin.

Israel
Sembilan delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) selamat tiba di KLIA. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Terdahulu, pesawat membawa sembilan sukarelawan Malaysia itu mendarat di KLIA kira-kira pukul 3.55 petang, sebelum keluar melalui balai ketibaan utama pada 5 petang sambil disambut dengan laungan solidariti oleh ahli keluarga dan rakyat Malaysia.

Turut hadir menyambut ketibaan wira dan wirawati negara itu ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan Timbalan Menteri Agama, Dr Zulkifli Hasan.

Sembilan delegasi Malaysia terbabit ialah Dr Alauddin, Dr Fauziah Mohd. Hassan, Dr Maziah Muhammad, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd. Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, dan wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button