Arab Saudi tolak permintaan Israel sertai operasi ketenteraan di Yaman
RIYADH – Arab Saudi menolak permintaan Israel untuk menyertai kempen ketenteraan bagi memerangi kumpulan Houthi di Yaman, meskipun usaha mendapatkan persetujuan Riyadh dilaporkan dilakukan menerusi perantaraan Amerika Syarikat (AS).
Akhbar Israel, Haaretz melaporkan, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman tidak berminat menerima bantuan ketenteraan Israel kerana bimbang kerjasama itu mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan rakyat negara berkenaan.
Menurut laporan itu yang memetik sumber diplomatik tanpa nama, Israel berusaha mendapatkan persetujuan Riyadh bagi membolehkan negara itu turut serta dalam operasi ketenteraan terhadap kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman.
Satu lagi sumber yang mengetahui perkara itu berkata, Israel berharap kerjasama ketenteraan dengan Arab Saudi dapat mengukuhkan hubungan dua hala serta membuka laluan kepada kemungkinan perjanjian normalisasi hubungan pada masa hadapan.
Bagaimanapun, Arab Saudi dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi ketika ini.
Riyadh sebelum ini menegaskan bahawa normalisasi hubungan dengan Israel bergantung pada penyelesaian isu Palestin, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin.
Perkembangan itu berlaku ketika serangan kumpulan Houthi terhadap Arab Saudi semakin meningkat, termasuk serangan ke atas lapangan terbang yang mengakibatkan korban jiwa dan gangguan penerbangan.
Menurut laporan media antarabangsa, serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh pada Sabtu lalu mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.
Serangan berasingan di lapangan terbang sama pada Ahad pula mengorbankan seorang warga Pakistan dan mencederakan 11 individu.
Setakat laporan itu diterbitkan, pihak berkuasa Arab Saudi belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan penolakan permintaan Israel berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








