Malaysia kecam serangan Houthi, sokong usaha Arab Saudi redakan konflik
KUALA LUMPUR – Malaysia menyokong usaha Arab Saudi mempertahankan keselamatan penduduk dan kedaulatan wilayahnya susulan siri serangan Houthi ke atas negara itu.
Menurut Kementerian Luar, Malaysia turut menyokong segala usaha ke arah meredakan ketegangan serta menamatkan konflik berkenaan dengan segera.
“Malaysia menyokong usaha kerajaan Arab Saudi untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayahnya, serta keselamatan penduduknya, selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia turut menyokong segala usaha ke arah meredakan ketegangan dan segera menamatkan konflik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysia pada masa sama mengecam keras serangan Houthi terhadap Arab Saudi, termasuk tindakan yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam.
Kementerian Luar atau dikenali sebagai Wisma Putra berkata, Malaysia amat menghargai kerjasama yang sekian lama terjalin dengan Arab Saudi dan kekal komited untuk terus memperkukuh hubungan kedua-dua negara demi kepentingan bersama.
Arab Saudi berdepan siri serangan Houthi menggunakan peluru berpandu dan dron sejak kebelakangan ini.
Sabtu lalu, pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Riyadh.
Houthi turut mendakwa melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu balistik, peluru berpandu kruis dan dron terhadap beberapa sasaran di Riyadh serta kemudahan minyak Saudi Aramco di Yanbu.
Pada 14 September lalu, serangan Houthi di Khamis Mushait, Abha dan Taif menyebabkan 13 orang awam cedera ringan hingga sederhana, selain merosakkan tujuh rumah dan dua kenderaan.
Majlis Keselamatan PPB pada Khamis lalu turut mengecam serangan berterusan Houthi terhadap Arab Saudi, termasuk yang menjejaskan orang awam dan infrastruktur tenaga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








