Serangan Houthi: AS arah kakitangan kedutaan pulang dari Arab Saudi
RIYADH – Amerika Syarikat (AS) mengarahkan kakitangan kerajaan bukan kecemasan serta ahli keluarga mereka meninggalkan Arab Saudi susulan peningkatan ancaman serangan kumpulan Houthi terhadap negara itu.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan peningkatan serangan terhadap beberapa sasaran di Arab Saudi, termasuk lapangan terbang awam dan infrastruktur kritikal.
Menurutnya, keselamatan kakitangan kerajaan dan keluarga mereka kekal menjadi keutamaan, selain pihaknya akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi mereka.
Arahan berkenaan dikeluarkan ketika Arab Saudi berdepan siri serangan yang dikaitkan dengan Houthi, termasuk serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh dan kemudahan minyak negara itu.
Pada Rabu, pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan dua pekerja warga asing terbunuh manakala dua lagi cedera selepas serpihan dron yang dipintas jatuh berhampiran kemudahan minyak Shaybah di wilayah timur negara itu.
Bagaimanapun, arahan berkenaan hanya melibatkan kakitangan kerajaan AS yang bukan kecemasan dan ahli keluarga mereka di Arab Saudi, bukannya pengunduran menyeluruh kakitangan diplomatik dari negara-negara Teluk.
Perkembangan itu berlaku ketika konflik serantau membabitkan AS, Israel dan Iran terus meningkatkan ketegangan di Timur Tengah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan peluasan pertempuran melibatkan kumpulan Houthi di Yaman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








