Serangan terbaharu lapangan terbang Riyadh ragut 1 nyawa, 11 cedera
RIYADH – Seorang lelaki warga Pakistan maut manakala 11 lagi cedera dalam serangan terbaharu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, pada Ahad.
Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) mengesahkan jumlah korban itu dalam kenyataan susulan yang dikeluarkan pada Isnin, menurut laporan Saudi Gazette dan agensi Anadolu.
Menurut pihak berkuasa, semua mangsa yang cedera segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala kerosakan pada kemudahan lapangan terbang masih dinilai bersama agensi berkaitan.
Serangan pada Ahad itu berlaku selepas satu serangan ke atas lapangan terbang sama pada Sabtu yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 yang lain.
Dalam serangan terbaharu itu, satu objek tidak dikenal pasti dilaporkan mengenai Terminal 4 sehingga mencetuskan kebakaran, menurut laporan Arab News.
Lapangan terbang berkenaan sebelum ini turut menjadi sasaran beberapa serangan sejak minggu lalu, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan kemudahan penerbangan awam di Arab Saudi.
Serangan pada Sabtu dikaitkan dengan kumpulan pemberontak Houthi dari Yaman, namun pihak berkuasa belum mengesahkan secara terbuka pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan terbaharu pada Ahad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








