Korban tembakan Bondi Beach meningkat kepada 16 orang
SYDNEY – Jumlah mangsa maut dalam serangan bersenjata ketika sambutan festival komuniti Yahudi di Bondi Beach di sini meningkat kepada 16 orang termasuk kanak-kanak.
Pihak berkuasa New South Wales (NSW) sebelum ini melaporkan seramai 12 mangsa disahkan maut dalam kejadian itu.
Dalam kejadian yang berlaku semalam, dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai bertempiarang lari.
Seorang daripada suspek ditembak mati di lokasi kejadian, manakala seorang lagi kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital.
Pihak berkuasa Australia kemudian mengklasifikasikan insiden berkenaan sebagai serangan pengganas.
Serangan tersebut berlaku bersempena sambutan awal Hanukkah dan dipercayai menyasarkan komuniti Yahudi tempatan.
Selain korban jiwa, seramai 38 orang dilaporkan cedera, termasuk empat kanak-kanak dengan beberapa mangsa kini dirawat di unit rawatan rapi hospital di sekitar Sydney.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari sebuah jambatan berhampiran kawasan festival.
Dalam kekalutan itu, seorang peniaga buah bertindak berani apabila berjaya melumpuhkan salah seorang penyerang sebelum pihak keselamatan tiba.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyifatkan kejadian berkenaan sebagai ‘hari paling gelap’ dalam sejarah moden negara itu dan menyeru rakyat agar bersatu padu menentang kebencian serta keganasan.
Sementara itu, Menteri Polis NSW menggesa orang ramai supaya bertenang dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Polis turut mengesahkan penemuan bahan letupan buatan di dalam sebuah kenderaan yang dikaitkan dengan salah seorang suspek.
Kawasan sekitar Bondi Beach kini ditutup sementara bagi tujuan siasatan forensik dan keselamatan.
Insiden berdarah itu mencetuskan kebimbangan di peringkat antarabangsa dengan beberapa pemimpin dunia menyuarakan solidariti kepada mangsa serta mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








