Dua maut dalam serangan sinagog di Manchester
LONDON – Dua penganut Yahudi maut manakala tiga lagi cedera parah dalam satu insiden serangan menggunakan kenderaan dan pisau di sebuah rumah ibadat Yahudi (sinagog) di utara Manchester, pagi Khamis (waktu tempatan).
Polis yang menerima panggilan kecemasan pada jam 9.31 pagi (waktu tempatan) mengklasifikasikan insiden itu sebagai serangan pengganas.
Menurut Polis Greater Manchester, suspek dikenal pasti sebagai Jihad Al-Shamie, 35, warga Britain berketurunan Syria.
Suspek ditembak mati di lokasi kejadian selepas cuba merempuh orang awam sebelum menikam beberapa mangsa.
Pasukan polis tiba di kawasan sinagog Heaton Park Hebrew Congregation dalam masa tujuh minit dan menembak mati suspek pada jam 9.38 pagi.
Pada ketika itu, ratusan jemaah sedang berada di dalam rumah ibadat berkenaan dan terpaksa berlindung sementara kawasan sekitar dikawal pihak keselamatan.
“Keberanian segera yang ditunjukkan oleh jemaah dan anggota keselamatan berjaya menghalang suspek daripada menceroboh masuk ke dalam bangunan,” kata polis dalam kenyataan.
Kejadian berlaku ketika jemaah sedang berhimpun sempena sambutan Yom Kippur, hari paling suci dalam kalendar keagamaan Yahudi.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Shah berkata, beliau melihat sebuah kereta dipandu laju ke arah orang ramai sebelum seorang lelaki keluar dengan membawa pisau.
“Suasana amat mencemaskan, lelaki itu terus meluru sambil menikam orang awam,” katanya.
Seorang lagi saksi, Gareth Tonge yang kebetulan memandu van penghantaran berhampiran sinagog berkata, beliau terlihat seorang mangsa berlumuran darah terbaring di atas jalan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








