LUAR NEGARA

IRGC lancar serangan di 55 lokasi berkepentingan AS, Israel

TEHRAN – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan serangan balas gelombang ke-70 ke atas lebih 55 lokasi di bawah Operasi ‘True Promise 4’ yang didakwa mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS) dan rejim Zionis Israel di seluruh rantau menjadi sasaran.

Menurut kenyataan IRGC pada Sabtu, fasa terbaharu operasi itu menyaksikan letupan kuat, api marak serta kepulan asap tebal di kawasan yang diserang.

IRGC memaklumkan lima pangkalan tentera Amerika menjadi sasaran, masing-masing di al-Kharj (Arab Saudi), al-Dhafra (Emiriah Arab Bersatu), Ali al-Salem (Kuwait), Erbil (Iraqi Kurdistan) serta ibu pejabat Armada kelima AS di Bahrain.

Serangan tersebut dilaporkan menggunakan sistem peluru berpandu Qiam dan Emad selain dron tempur, sebagai sebahagian strategi ‘hakisan berperingkat’ terhadap musuh.

Dalam masa sama, Pasukan Aeroangkasa IRGC turut menumpukan serangan ke kawasan strategik di pelabuhan Haifa dan bandar Tel Aviv di Israel, termasuk Hadera, Kiryat Ono, Savion dan Ben Ami.

IRGC mendakwa penggunaan peluru berpandu Khorramshahr-4 serta Qadr pelbagai kepala peledak memberi kesan ‘di luar jangkaan musuh’ sekali gus memburukkan keadaan di wilayah terbabit.

“Pada tahap ini, perlu ditegaskan bahawa IRGC akan terus menyasarkan punca sebarang pencerobohan terhadap kedaulatan Republik Islam Iran dengan serangan yang lebih besar,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa telah membunuh Ketua Bahagian Perisikan Pasukan Basij, Esmail Ahmadi, bersama beberapa komander kanan lain dalam satu serangan di tengah Tehran.

Menurut Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Ahmadi memainkan peranan penting dalam merancang serta melaksanakan serangan oleh pasukan Basij, selain terlibat dalam operasi mengekang protes dalaman di Iran.

IDF turut mendakwa seorang lagi tokoh penting, Mehdi Rastami Sh’mastan dari Kementerian Perisikan Iran, turut terbunuh, dan menyifatkannya sebagai individu utama dalam menggerakkan aktiviti serta serangan terhadap warga Israel dan Yahudi di seluruh dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button