KDN kenal pasti jumlah pelarian di depot imigresen, status ditentukan hujung tahun
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengenal pasti jumlah sebenar individu yang dikategorikan sebagai pelarian dan kini berada di depot imigresen di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses seterusnya membabitkan sesi temu duga oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menentukan status sebenar mereka.
Beliau berkata, penentuan itu penting bagi membezakan individu yang benar-benar berstatus pelarian dengan warga asing yang mempunyai kesalahan lain.
“Kita sudah mengenal pasti secara tepat angka mereka yang kita kategorikan sebagai kelompok ini yang sekarang berada di dalam depot imigresen.
“Bilangan ini harus kita teruskan pula dengan proses temu duga oleh dua elemen, iaitu imigresen dan polis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, selepas proses temu duga selesai, status individu terbabit akan ditentukan oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN.
“Antara perkara yang akan dikenal pasti ialah sama ada mereka benar-benar pelarian atau mempunyai kesalahan lain termasuk penyalahgunaan pas, tinggal lebih masa serta memasuki negara tanpa dokumen sah.
“Kita harus tentukan dulu bilangan itu. Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan arahan kepada KDN supaya menjelang hujung tahun, kementerian mesti menentukan sejumlah angka yang telah selesai diproses.
“Itu baru yang berada di dalam depot. Kita belum bercakap lagi mengenai mereka yang berada di luar sana yang jumlahnya jauh lebih besar,” katanya lagi.
Saifuddin berkata, proses berkenaan merupakan projek rintis bagi menilai sejauh mana mekanisme penentuan status pelarian boleh dilaksanakan mengikut kerangka undang-undang negara.
“Sekurang-kurangnya projek rintis ini akan menilai kebolehlaksanaan. Apakah ia sesuatu yang munasabah dan boleh kita lakukan mengikut acuan atau kerangka undang-undang kita.
“Kalau tidak, kita selamanya bergantung kepada data UNHCR,” katanya lagi.
Beliau berkata, proses penentuan status itu kini sedang berjalan dengan membabitkan elemen imigresen dan polis, sebelum keputusan dibuat jawatankuasa di bawah KSU KDN.
“Jawatankuasa itu akan menentukan status dan KDN diminta mengumumkan kepada Jawatankuasa Kabinet pada hujung tahun ini bilangan yang berjaya kita proses serta dikenal pasti statusnya secara tepat dan sah,” katanya lagi.
Mengulas mengenai urusan penghantaran pulang, Saifuddin menjelaskan ia merujuk kepada pelarian dari Myanmar dan bukan khusus kepada etnik Rohingya.
“5,000, bukan 15,000. Saya sebut pelarian Myanmar. Myanmar ada 19 etnik, Rohingya itu salah satu daripadanya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








