KDN, PDRM tawar diskaun 50 peratus saman trafik sempena Hari Kebangsaan
PUTRAJAYA – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Kempen Diskaun Saman Kebangsaan dengan tawaran pengurangan saman trafik sebanyak 50 peratus.
Tawaran itu hanya sah bagi pembayaran melalui aplikasi MyBayar PDRM menggunakan log masuk MyDigital ID bermula 31 Ogos hingga 16 September 2025.
KDN dalam kenyataan hari ini berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meraikan sambutan kemerdekaan, malah memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kerajaan mengambil pendekatan untuk bukan sahaja meraikan pencapaian negara, tetapi juga memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Tawaran pengurangan saman ini adalah simbol penghargaan kerajaan kepada rakyat Malaysia, di samping menggalakkan penggunaan identiti digital nasional sebagai asas kepada transformasi digital perkhidmatan awam,” kata kenyataan itu.
Justeru, rakyat diseru agar memanfaatkan peluang itu untuk melangsaikan tunggakan saman trafik, selain menyokong usaha kerajaan memperkukuh perkhidmatan digital negara.
Kempen itu juga dilihat sebagai sebahagian langkah kerajaan memastikan urusan pembayaran saman lebih mudah, cepat dan selamat melalui pengesahan identiti digital yang sah serta dilindungi.
KDN menegaskan, pelaksanaan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat, di samping mengangkat agenda digitalisasi negara seiring dengan semangat kemerdekaan dan kemajuan Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








