BERITA SEMASA

Shuhaily dikembalikan kepada PDRM, penempatan di AKPS ditamatkan

PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk menamatkan penempatan beliau sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan berkenaan dibuat minggu lalu selepas mengambil kira status Shuhaily yang berkhidmat di AKPS menerusi kontrak peminjaman kader daripada pasukan polis.

“Dia adalah kader polis ke AKPS. Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohd Khalid Ismail) dah jelaskan.

“Jadi kita kembalikan dia pulang kepada pasukan polis dan pihak polis akan menyusullah,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.

Ditanya mengenai individu yang bakal menggantikan Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS, Saifuddin hanya menjawab bahawa perkara itu akan ditentukan oleh pihak polis.

Semalam, Mohd Khalid berkata, status perkhidmatan Shuhaily di AKPS dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan sebelum sebarang keputusan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya dikemukakan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, perkara itu turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, rujukan kepada AGC perlu dibuat memandangkan penempatan Shuhaily di AKPS adalah berdasarkan kontrak peminjaman kader daripada PDRM selama dua tahun yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita merujuk perkara ini kepada AGC sebab penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS untuk tempoh selama dua tahun.

“Dia macam kontrak, jadi kontrak ini dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang membabitkan tahan kerja dan sebagainya, tindakannya nanti kita bergantung kepada nasihat AGC.

“Tapi apa pun perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan penamatan kontrak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, KDN dalam kenyataan semalam memaklumkan urusan perkhidmatan Shuhaily masih dalam proses untuk dimuktamadkan.

Kementerian itu turut mengambil maklum dan menghargai pandangan yang disuarakan masyarakat berhubung perkara berkenaan.

Pada 21 Oktober lalu, Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shuhaily didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman antara 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1 KLIA pada 28 September lalu.

Beliau turut berdepan pertuduhan sama membabitkan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman di lokasi dan pada masa yang sama.

Pada 17 Oktober lalu, Saifuddin memaklumkan AGC meminta beberapa penambahbaikan terhadap kertas siasatan kes berkenaan, termasuk penjelasan tambahan dan tindakan siasatan lanjut.

Kertas siasatan itu sebelum ini dikemukakan kepada AGC selepas polis merakam keterangan 25 saksi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button