BERITA SEMASA

JAWI laksana pengebumian kubur bertingkat di Kepong

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memulakan projek perintis pengebumian jenazah secara kubur bertingkat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS), Kepong bagi mengoptimumkan penggunaan ruang tanah perkuburan yang semakin terhad.

Inisiatif menerusi Bahagian Pengurusan Masjid dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Dakwah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur itu dikhususkan bagi pengebumian jenazah yang tidak mempunyai waris.

Menurut JAWI, pelaksanaan kaedah berkenaan turut melibatkan penggunaan mesin takal penurun jenazah yang dibangunkan JKR Kuala Lumpur bagi memudahkan proses menurunkan jenazah ke kedalaman lapan kaki.

“Selain itu, bagi memastikan keselamatan struktur, penghadang runtuhan tanah (trench box) turut digunakan dalam proses pengebumian secara kubur bertingkat,” menurut kenyataan JAWI.

Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan, turut hadir bagi meninjau sendiri pelaksanaan proses pengebumian serta penggunaan mesin takal berkenaan.

JAWI berharap penggunaan peralatan itu dapat meningkatkan kecekapan proses pengebumian, selain memudahkan urusan petugas yang terlibat.

Menurut jabatan itu, usaha menambah baik dan menaik taraf pengoperasian tanah perkuburan Islam akan terus diperkasakan, termasuk meneroka penggunaan teknologi serta peralatan bersesuaian.

“Usaha menambah baik dan menaik taraf pengoperasian tanah perkuburan Islam termasuk penerokaan penggunaan teknologi dan peralatan yang bersesuaian menjadi matlamat dalam memastikan penyampaian perkhidmatan JAWI dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Usaha ini juga mencerminkan komitmen jabatan untuk memastikan pengurusan jenazah dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tertib dan penghormatan selaras dengan tuntutan syarak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button