JENAYAH & MAHKAMAH

Penduduk sempadan diminta lapor ugutan sindiket penyeludupan

TUMPAT – Penduduk, khususnya yang menetap berhampiran kawasan sempadan, diminta tidak teragak-agak membuat laporan polis sekiranya menerima ugutan atau ancaman keselamatan daripada sindiket penyeludupan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk tampil menyalurkan maklumat kerana pihak berkuasa memberi jaminan perlindungan penuh kepada pengadu dan saksi.

Menurut beliau, tindakan mendedahkan kegiatan sindiket berkenaan menerusi media sosial boleh mengundang risiko ancaman terhadap keselamatan individu terbabit.

Sehubungan itu, laporan rasmi kepada polis lebih berkesan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan termasuk membuat tangkapan.

“Kita mempunyai Akta Perlindungan Saksi dan orang awam tidak perlu bimbang untuk tampil memberikan maklumat.

“Bagi kes berprofil tinggi atau berkepentingan, kita boleh memohon bantuan Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan pemberi maklumat dan saksi mendapat perlindungan sepanjang proses siasatan serta prosiding mahkamah,” katanya memetik laporan RTM.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan penduduk di kampung sekitar Sungai Kelantan yang dikatakan menerima ugutan menggunakan senjata api daripada sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi pendaratan.

Sementara itu, statistik penguatkuasaan merekodkan peningkatan jumlah tangkapan PATI bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini kepada 4,837 orang berbanding 2,452 orang pada 2025 dan 2,173 orang pada 2024.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff berkata, pelarian Myanmar yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak boleh ditahan sewenang-wenangnya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sekiranya golongan itu melanggar undang-undang negara, melakukan jenayah atau menyalahgunakan dokumen pengenalan diri yang dimiliki.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button