BERITA SEMASA

PDRM dapatkan bantuan Polis Thailand kesan Zamri Vinoth, Tamim Dahari

KUALA LUMPUR – Usaha mengesan penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis, Tamim Dahri yang disahkan telah melarikan diri ke Thailand sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan kedua-kedua individu yang disiasat berkait beberapa kes berasingan itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

Beliau berkata, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

“Arahan pertuduhan membabitkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Selain itu, siasatan terhadap Zamri berkaitan kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan akan dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, kertas siasatan terhadap Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dengan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kedua-dua individu berjaya dikesan dan dibawa pulang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ketua Polis Negara menegaskan pihaknya akan sentiasa komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan yang menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button