DALAM NEGERI

Tamim Dahri serah diri selepas bantu kempen calon Bebas di Sri Tanjung

PORT DICKSON – Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak mengesahkan beliau menyerahkan diri kepada polis selepas pulang ke tanah air, selepas dikaitkan dengan kes provokasi agama yang sedang dihadapinya.

Menerusi satu rakaman video yang tular, Tamim memaklumkan beliau berada di Port Dickson bagi membantu kempen calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Islah Wahyudi Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Randok, yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Menurutnya, sepanjang lima bulan berada di luar negara, beliau membuat keputusan pulang ke Malaysia untuk memberikan sokongan kepada calon berkenaan sebelum menyerahkan diri kepada pihak berkuasa.

“Saya berada di luar negara selama lima bulan, tetapi hari ini saya membuat keputusan datang ke Port Dickson untuk membantu kempen saudara kita, Islah Wahyudi Zainuddin atau Randok yang bertanding di DUN Sri Tanjung.

“Selepas itu saya akan menyerahkan diri kepada pihak polis,” katanya menerusi video tular di Facebook hari ini.

Walau bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan Tamim bahawa beliau telah menyerahkan diri kepada pihak berkuasa.

Tamim berkata, beliau pada awalnya bercadang menyerahkan diri di Kelantan, namun mengubah keputusan selepas mengetahui Randok akan bertanding di Sri Tanjung.

Pada 17 Mac lalu, media melaporkan Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap Tamim Dahri selepas pihak pendakwaan memaklumkan suspek dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memaklumkan Tamim Dahri dipercayai meninggalkan Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam ke Thailand pada 9 Mac sebelum dikesan berada di Arab Saudi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan masih belum dapat mengesahkan sama ada suspek memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong atau visa umrah.

Pada 17 Mei lalu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek.

Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam yang merupakan simbol suci penganut Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi.

Tamim Dahri sebelum ini menyatakan kesediaan untuk pulang ke Malaysia dan menyerah diri kepada PDRM dalam masa terdekat, namun meletakkan beberapa syarat termasuk tindakan perobohan terhadap empat buah kuil yang didakwanya tidak sah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button