Tamim Dahri masih dalam buruan, pasport sudah dibatalkan
ALOR SETAR – Polis mengesahkan pasport aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes merosakkan objek suci agama Hindu di Langkawi telah dibatalkan, manakala permohonan Notis Merah (Red Notice) kepada Polis Antarabangsa (Interpol) masih dalam tindakan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, permohonan pembatalan pasport kepada Jabatan Imigresen telah diluluskan pada 9 Julai lalu selepas lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai melarikan diri ke luar negara.
Menurutnya, Tamim yang juga aktivis gagal dikesan sejak siasatan terhadapnya dijalankan dan semakan mendapati dia meninggalkan negara sejurus selepas kejadian.
“Tamim didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi pada 17 Mac lalu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan secara in absentia kerana tidak hadir ke mahkamah.
“Pada sebutan semula kes pada 17 Mei lalu, tertuduh sekali lagi gagal hadir menyebabkan mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
“Dalam usaha mengesannya, polis sudah mengemukakan permohonan Red Notice kepada Interpol dan permohonan itu masih dalam tindakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 19 Julai ini.
Baca juga : Tamim Dahri letak syarat mahu serah diri, gesa roboh 4 kuil haram
Menurut Adzli, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa serta proses perundangan yang sedang berjalan.
Kes berkenaan membabitkan dakwaan perbuatan merosakkan objek suci agama Hindu yang dilaporkan berlaku di Langkawi dan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Kelmarin, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan kepada Interpol pada 8 Jun lalu bagi mengeluarkan Notis Merah terhadap Tamim yang dipercayai masih berada di luar negara bagi mengesan serta membawanya pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes provokasi agama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, permohonan itu dibuat selepas PDRM turut memohon pembatalan pasport suspek sebagai sebahagian daripada usaha mengesan keberadaannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







