Dr Maza pertikai keputusan dakwa Tamim, Zamri, harap KPN teliti semula pendakwaan
KANGAR – Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempertikaikan keputusan untuk mendakwa aktivis anti pencerobohan tanah bagi pembinaan rumah ibadat, Tamim Dahri serta pendakwah bebas, Zamri Vinoth.
Mohd. Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, beliau membaca pandangan yang dikemukakan oleh tokoh pengamal undang-undang, Zainul Rijal Abu Bakar yang menyifatkan pendakwaan terhadap kedua-dua individu tersebut menimbulkan persoalan.
Menurut beliau, jika seorang pengamal undang-undang berpengalaman seperti Zainul Rijal berasa pelik dengan pendakwaan berkenaan, keadaan itu lebih menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat awam.
“Saya sendiri tertanya-tanya tentang sikap adil dan profesionalisme Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) dalam isu ini. Apatah lagi kita berada di negara Malaysia, bukan di negara India,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Ketua Polis Negara mengesahkan siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Bagi kes itu, katanya, arahan pertuduhan membabitkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Sementara itu, kertas siasatan terhadap Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Dr Maza berkata, situasi tersebut menimbulkan persoalan sama ada undang-undang dilihat hanya dikenakan terhadap pihak tertentu sahaja.
Dalam pada itu, beliau berkata, kebimbangan turut dirasai oleh sebahagian umat Islam berhubung hala tuju pengurusan negara terutama dalam isu berkaitan, di samping tindakan yang diambil dalam kes tersebut turut menambahkan lagi persoalan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap Ketua Polis Negara mengambil kira aspek keadilan, profesionalisme, latar belakang isu serta identiti negara dalam menangani perkara berkenaan.
“Negara ini memerlukan mereka yang jujur dan amanah khususnya dalam mengendalikan hal-hal berkaitan keselamatan dan keadilan,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai mengambil kesempatan pada bulan Ramadan untuk berdoa agar negara berada di bawah kepimpinan serta pengurusan yang adil dan mampu menjaga identiti negara khususnya berkaitan agama.
Menurutnya, pihaknya akan terus memantau perkembangan isu tersebut serta menyatakan pendirian dari semasa ke semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







