
Saravanan sahut debat dengan Zamri Vinoth
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan setuju untuk berdebat dengan pendakwah, Zamri Vinoth selepas cabarannya disahut.
Saravanan menetapkan debat itu berlangsung pada 23 Mac, pukul 11 pagi, dengan tajuk berkaitan upacara kavadi dan sebutan ‘Vel Vel’ seperti yang dinyatakan Zamri sebelum ini.
Beliau juga memberi kebebasan kepada Zamri untuk memilih lokasi di ibu negara, namun mencadangkan Dewan Bahasa Tamil Malaysia sebagai penganjur.
“Saya menantikan pengesahan daripada kamu. Pelik apabila kamu menerima cabaran debat tetapi menutup ruangan komen di Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zamri sebelum ini menerima cabaran debat melalui media sosial dan memberi kebebasan kepada Saravanan memilih tajuk serta lokasi.
Kontroversi tercetus selepas Saravanan mengecam kenyataan Zamri yang didakwa menghina upacara kavadi, dengan menyifatkannya sebagai tindakan “menari seperti dirasuk dan dalam keadaan mabuk todi”.
MIC menganggap kenyataan itu biadab dan menyinggung masyarakat Hindu, serta bercanggah dengan dasar kerajaan dalam isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
Sebelum ini, tiga penyampai radio Era FM turut terpalit kontroversi kerana dikatakan mempersenda upacara kavadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








