Kes serang Zamri Vinoth, polis tahan pekerja kilang
BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan seorang pekerja kilang berusia 20 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan dakwaan serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Muhammad Shahrul Aiman Kamalrulzaman bermula hari ini hingga Rabu.
Suspek berpakaian lokap warna jingga tiba di mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi sambil dikawal anggota polis serta memakai pakaian lokap polis berwarna oren.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, memaklumkan polis menahan seorang lelaki awal pagi tadi susulan laporan dibuat Zamri yang mendakwa diserang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Siasatan masih dijalankan,” katanya memetik laporan New Straits Times.
Seksyen 506 berkaitan ugutan jenayah, manakala Seksyen 427 membabitkan kesalahan melakukan khianat.
Difahamkan, suspek adalah pemilik motosikal dalam video tular memaparkan insiden serangan terhadap Zamri, kira-kira jam 3 petang di tepi jalan di Taman Aston Acacia, di sini, semalam.
Lelaki berkenaan ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dan polis turut mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam serangan itu bagi membantu siasatan.
Semalam, Zamri yang lantang bersuara mengenai isu pencerobohan tanah, dalam hantaran di Facebook, mendakwa diserang oleh sekumpulan individu sebelum dia berjaya melarikan diri.
“Mereka membawa kayu, batu dan cuba menyerang saya. Alhamdulillah, mereka hanya membaling batu dan memecahkan cermin kereta saya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








