Mahkamah Rayuan putus rayuan kerajaan isu pelarasan pencen esok
KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan dijadual membuat keputusan esok berhubung rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakiman berkaitan pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir pesara.
Keputusan itu akan disampaikan oleh panel tiga hakim diketuai Lim Chong Fong bersama Azhahari Kamal Ramli dan Meor Hashimi Abdul Hamid pada jam 9 pagi.
Pada 9 September tahun lalu, panel berkenaan selesai mendengar penghujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi yang mewakili kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selaku perayu.
Sementara itu, peguam Baljit Singh Sindhu dan Abd Shukor Ahmad mewakili pesara kerajaan, Aminah Ahmad.
Aminah yang bersara sebagai penjawat awam kanan di Kementerian Luar memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 12 Januari 2024 atas kapasiti sendiri serta bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam.
Pada 16 Januari 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh membenarkan semakan kehakiman itu dan mengarahkan kerajaan serta JPA membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan.
Bagaimanapun, pada 4 Mac tahun lalu, Amarjeet membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan bayaran tunggakan pencen kepada 531,976 pesara berjumlah RM1.7 bilion sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Dalam permohonannya, Aminah memohon perintah mandamus supaya pelarasan pencen dibuat mengikut formula dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum pindaan melalui Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013.
Beliau juga memohon supaya tunggakan pencen dibayar dalam tempoh 14 hari selain pengisytiharan bahawa kegagalan berbuat demikian bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mengikut skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji semasa penjawat awam yang masih berkhidmat dalam gred sama, namun pindaan 2013 memperkenalkan kaedah baharu iaitu kenaikan kadar tetap dua peratus setiap tahun.
Aminah pada awalnya tewas di Mahkamah Tinggi pada 2020 sebelum membuat rayuan di Mahkamah Rayuan yang memihak kepadanya.
Seterusnya pada 27 Jun 2023, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan pindaan pencen itu terbatal dan tidak sah, sekali gus menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







