Tikam bapa saudara lima kali, pemotong rumput direman
BATU PAHAT– Seorang lelaki berusia 35 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian menikam bapa saudaranya dalam satu pertengkaran di sebuah rumah di Semerah, semalam, menurut laporan Harian Metro.
Perintah reman terhadap suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput itu dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A. Rahman di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
Berdasarkan laporan, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang berusia 52 tahun datang ke rumah suspek untuk bertanya mengenai dakwaan suspek telah memburukkannya.
Ketika itu, suspek sedang berada di dapur bersama adiknya yang berusia 26 tahun dan sedang memotong bawang untuk memasak.
Berlaku pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa yang kemudian memuncak apabila mangsa bertindak mengambil lesung batu untuk menyerangnya.
Bagi mempertahankan diri, suspek dikatakan mencapai pisau pemotong sayur yang berada berdekatan lalu menikam bahagian bahu dan pergelangan tangan kiri mangsa sebanyak lima kali.
Kejadian tersebut menyebabkan mangsa berlumuran darah sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan.
Keadaannya dilaporkan stabil.
Difahamkan, adik suspek turut berada di lokasi dan cuba meleraikan pergaduhan tersebut.
Siasatan awal polis mendapati suspek mengakui menikam bapa saudaranya dalam usaha mempertahankan diri daripada dipukul dengan lesung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








