Seorang maut, dua cedera ditembak ketika makan di restoran
KUALA LUMPUR – Tiga lelaki ditembak ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields malam tadi, menyebabkan seorang maut manakala dua lagi cedera.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10.50 malam, ketiga-tiga mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun sedang makan bersama beberapa rakan sebelum didatangi dua suspek menaiki motosikal.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kedua-dua suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah kumpulan lelaki tersebut.
“Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
“Dua lagi mangsa menerima rawatan di PPUM dengan seorang daripada mengalami kecederaan serius manakala seorang lagi cedera ringan,” katanya memetik laporan BERNAMA.
Ku Mashariman berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup bagi mengenal pasti motif kejadian dan suspek yang terbabit.
“Kita yakin dapat mengenal pasti suspek dalam masa terdekat. Orang ramai tidak perlu gusar dengan kejadian ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi polis atau balai berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








