JENAYAH & MAHKAMAH

Pembantu rumah dipenjara empat tahun abai kanak-kanak hingga lemas

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu rumah warga Indonesia dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia akibat lemas di kolam renang sebuah residensi di Sentul, bulan lalu.

Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap Wahyuni Tanjung, 44, dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula tarikh tertuduh ditahan pada 29 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, Wahyuni didakwa melakukan kesalahan itu di kolam renang dewasa sebuah residensi di Sentul antara jam 6 petang hingga 7 malam pada 28 Julai lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian ibu mangsa meminta tertuduh yang juga pembantu rumahnya membawa mangsa bersama abang mangsa yang berusia lima tahun ke kolam renang di residensi berkenaan.

Siasatan mendapati tertuduh membawa kedua-dua kanak-kanak itu ke kolam renang dewasa tanpa sebarang alat bantuan renang atau pelampung walaupun mengetahui mereka tidak boleh berenang.

Tertuduh turut meninggalkan mereka tanpa pengawasan apabila pergi ke bilik air.

Kira-kira jam 7 malam, tertuduh menghubungi ibu mangsa bagi memaklumkan kanak-kanak itu lemas sebelum orang awam memberikan bantuan pernafasan (CPR).

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), namun disahkan meninggal dunia pada jam 4 pagi keesokan harinya.

Laporan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan punca kematian mangsa adalah konsisten dengan lemas.

Ketika prosiding, Wahyuni yang tidak diwakili peguam kelihatan sebak apabila ditunjukkan gambar dalam laporan bedah siasat mangsa, namun tidak merayu agar hukumannya diringankan.

Sebaliknya, dia memaklumkan kepada mahkamah bahawa suaminya meninggal dunia 14 tahun lalu dan kini mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun yang berada di Indonesia.

Tertuduh turut memohon agar dibenarkan menjalani hukuman di Indonesia, namun permohonan itu ditolak selepas hakim memaklumkan kesalahan berkenaan dilakukan di Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Md Subri Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta penjaga kanak-kanak lain supaya lebih bertanggungjawab ketika mengawasi kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button