Kanak-kanak maut dalam kebakaran lori di Pasir Gudang
JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah lori tanpa muatan berhampiran Iskandar Halal Park, Cahaya Baru, Pasir Gudang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.46 pagi itu, mangsa dilaporkan berada di dalam lori ketika kebakaran berlaku, manakala bapanya yang juga pemandu lori sempat menyelamatkan diri.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran melibatkan sebuah lori tanpa muatan dengan kira-kira 60 peratus bahagian kepala kenderaan itu terbakar.
“Orang awam telah bertindak memadam kebakaran menggunakan enam alat pemadam api jenis debu kering serta bantuan sebuah jengkaut yang menimbus api dengan tanah.
“Bagaimanapun, seorang kanak-kanak yang berada dalam lori tidak dapat diselamatkan, manakala pemandu berjaya keluar sebelum api marak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada pukul 1.30 tengah hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








