BERITA SEMASA

Nancy cadang tubuh pasukan khas tangani pengaruh AI terhadap kanak-kanak

KUCHING – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan kepada Jemaah Menteri penubuhan pasukan khas bagi menangani isu keselamatan dan pengaruh negatif kecerdasan buatan (AI) generatif khususnya terhadap kanak-kanak dan remaja.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, AI kini bukan sekadar ancaman kepada keselamatan data malah mampu mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku kanak-kanak yang lebih mudah terdedah kepada maklumat palsu atau manipulasi digital.

“Orang ramai sudah mula mengenal pasti maklumat yang tidak benar tetapi kerajaan perlu meningkatkan kesedaran mengenai AI ini.

“Penyertaan perlu dilakukan secara kolektif, bukan hanya satu kementerian. Semua pihak perlu melihat secara kritikal dalam menjamin kebajikan, keselamatan dan kejayaan kanak-kanak,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Asas Kepimpinan Lestari (ESG) Usahawati Sarawak di Kuching, hari ini.

Menurut Nancy, pasukan khas itu akan memfokuskan kepada pendidikan, literasi digital dan pendedahan awal kepada golongan muda serta masyarakat luar bandar.

Antara inisiatifnya termasuk program anjung komuniti dan kerjasama pelbagai kementerian bagi memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh.

Nancy turut mengulas bahawa beliau telah mengemukakan cadangan penubuhan pasukan khas itu kepada Menteri Digital, Datuk Gobind Singh Deo bagi mempercepat pelaksanaannya dan menyokong program advokasi KPWKM bermula tahun depan.

Tegasnya, kelewatan menangani isu berkaitan AI boleh menyebabkan masyarakat ‘dikawal’ oleh teknologi sekali gus mengancam keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button