BERITA SEMASA

Ibarat mimpi ngeri, tiga beradik trauma diserang lelaki di taman perumahan

RAWANG – Tiga beradik berdepan trauma berpanjangan apabila mereka diserang seorang lelaki berhampiran kediaman mereka di Taman Bakawali, Bukit Sentosa 3, di sini petang semalam.

Melalui perkongsian di Facebook, bapa mangsa yang menggunakan akaun Nett Adnan menceritakan bagaimana anak bongsunya, Raisha Falisha, 9, cedera ketika cuba diculik.

Menurutnya, insiden berlaku pada pukul 6.50 petang ketika tiga anaknya berjalan kaki sejauh 500 meter untuk ke pasar malam berhampiran kawasan perumahan tersebut.

Bukit Sentosa
Keadaan Raisha Falisha (kiri) yang cedera akibat dipijak dan ditendang si pelaku (gambar kanan).

“Selalu baca dalam media sosial pasal jenayah-jenayah, hari ini jadi dengan keluarga sendiri.

“Anak aku Raisha Falisha (adik) hampir hilang nyawa dek kerana sorang manusia yang tak ada akal.

“Biasanya memang aku takkan lepaskan diorang pergi sendiri walaupun dekat. Tapi hari ini nak jadi cerita, aku dengan isteri kurang sihat. So aku izinkan diorang bertiga pergi sendiri,” tulisnya.

Tambahnya, ketika melalui sebuah rumah di kawasan tersebut, anak bongsunya tiba-tiba dikejar seorang lelaki sebelum ditarik masuk ke dalam rumah.

“Bila adik dah kena tarik, abang (Eqii) pun terus kejar dan cuba nak lepaskan adiknya dari lelaki tersebut.

“Waktu ini, adik dah kena tarik sampai nak dibawa ke tingkat atas. Bila abang menjerit minta tolong, lelaki ini mula mengamuk.

“Dia pijak, sepak dan tendang kepala adik berkali-kali. Last sekali dia cekik adik,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana ada jiran yang sedar kejadian tersebut dan terus selamatkan anaknya.

“Kalau lambat sikit tak tahu apa nasib adik. Alhamdulillah, aku bersyukur sangat. Terima kasih orang baik, jiran-jiran dan orang awam yang sangat prihatin.

Bukit Sentosa
(Gambar kiri) Tiga beradik ini berdepan trauma berpanjangan akibat insiden tersebut. Gambar kanan, kesan lebam di leher mangsa.

“Adik, abang dan kakak masih trauma. Pada semua tolong hati-hati. Jangan biarkan anak jalan sendiri tanpa pengawasan walaupun dekat dengan rumah.

“Sebab sekarang tak boleh jangka apa yang akan berlaku. Jaga family,” pesannya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang meningkat dewasa agar memantau mereka.

“Jangan bagi anak-anak terjebak dengan dadah, ice, mushroom dan ketum,” tegasnya.

Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan pihak polis berhubung kes berkenaan.

Tinjauan di akaun beliau, perkongsian tersebut meraih lebih 7,900 reaksi, 3,000 komen dan 27,100 perkongsian semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button