
Kanak-kanak tiga tahun cedera terjun dari kereta
KUALA LIPIS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berdepan detik cemas apabila terjatuh dari kereta dipandu bapanya ketika berhenti di tepi jalan berhampiran Kampung Tempoyang, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi di Kilometer 5, Jalan Lipis-Merapoh itu, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap belakang kenderaan ketika bapanya berhenti untuk menjawab panggilan telefon.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, si bapa yang tidak menyedari anaknya terjatuh, terus memandu pulang ke rumah di Kampung Berembang sebaik selesai menjawab panggilan.
“Selepas hampir dua kilometer perjalanan, dia mula sedar anaknya tiada di dalam kereta. Lelaki itu kemudian berpatah balik untuk mencari namun gagal menemui anaknya lalu membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis,” katanya.
Tambah beliau, mangsa ditemui orang awam dalam keadaan cedera di muka dan bersendirian di tepi jalan.
“Kanak-kanak terbabit dibawa ke Balai Polis Padang Tengku sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Padang Tengku dan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan akibat perbuatan cuai, dan polis kini menggesa saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















