Nasib 55 rakyat Malaysia masih belum diketahui – Wisma Putra
PUTRAJAYA – Nasib 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi selepas sepuluh hari banjir besar melanda kawasan sempadan Nepal-China, masih belum diketahui.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pihaknya terus berhubung secara langsung dengan waris mereka bagi memberikan perkembangan terkini ketika usaha mencari, pengesahan serta tindakan berkaitan masih dijalankan.
“Maklumat mengenai kes individu disampaikan secara terus kepada keluarga, manakala perkembangan kepada umum akan dihadkan kepada maklumat yang telah disahkan,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Wisma Putra turut memberitahu, pihaknya menerusi saluran diplomatik sedang mendapatkan pengesahan daripada China berhubung kemungkinan pertindihan laporan mengenai rakyat Malaysia di Nepal dengan mereka yang dilaporkan berada di Tibet.
“Kedutaan Besar Malaysia di Beijing terus berhubung dengan pihak berkuasa China, manakala kementerian turut berurusan dengan Kedutaan China di Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan rasmi,” katanya.
Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk menyediakan kepakaran mencari dan menyelamat yang bersesuaian sekiranya diminta oleh pihak berkuasa China.
Katanya, tindak balas Malaysia diselaraskan menerusi ibu pejabat kementerian di Putrajaya, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing, serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.
Usaha mengesan rakyat Malaysia berkenaan dan mengesahkan status mereka turut disokong oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), polis, Jabatan Kimia dan agensi berkaitan lain.
Pagi tadi, seramai 11 anggota Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana Khas Malaysia (SMART) digerakkan ke Nepal sebagai sebahagian daripada tindak balas kemanusiaan negara terhadap bencana berkenaan.
Pasukan itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang menaiki pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dengan membawa peralatan termasuk kelengkapan komunikasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








