Penghantar barang maut ketika gig, kes diklasifikasi bunuh
MELAKA – Kes kematian seorang penghantar barang berusia 21 tahun yang cedera parah ketika menghadiri persembahan muzik atau gig di sebuah kafe di Kampung Jawa di sini, diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kes itu pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan sebelum diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 kanun sama.
Menurutnya, perubahan klasifikasi itu dibuat selepas mangsa disahkan meninggal dunia pada 21 Oktober lalu, empat hari selepas mengalami kecederaan serius di bahagian belakang kepala dalam kejadian pada 17 Oktober.
“Mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang dilaporkan cedera ketika berada di kafe berkenaan sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.53 petang, Rabu lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Halim berkata, polis menahan 10 individu berusia antara 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, acara gig yang dianjurkan di kafe berkenaan dilaporkan tidak mempunyai permit daripada polis mahupun kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Polis kini masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran acara itu,” katanya.
Sebelum itu, kejadian berkenaan tular di media sosial Threads dan menarik perhatian orang ramai selepas mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
Difahamkan, insiden berlaku ketika mangsa dikatakan melakukan aksi mosh atau tendangan berputar ketika persembahan berlangsung sebelum pergerakannya tersasar dan terjatuh sehingga mengalami kecederaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








