Tuju beri peluang terakhir kepada K-Clique, sedia ambil tindakan undang-undang tuntut royalti
KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan rap K-Clique, Tuju memberi bayangan bakal mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut royalti lagu yang didakwa masih belum diselesaikan sejak lebih empat tahun lalu.
Tuju atau nama sebenarnya Mohd Azree Shah Awang Zamree, 30, mendakwa sudah menghubungi semua bekas rakan sekumpulannya melalui mesej peribadi (DM), namun setakat ini belum menerima sebarang maklum balas.
Menurutnya, beliau masih memberi ruang kepada anggota kumpulan itu untuk menyelesaikan isu berkenaan secara baik sebelum meneruskan langkah perundangan, termasuk mengeluarkan Notis Tuntutan (LOD).
Menerusi perkongsian di Threads, Tuju mendakwa namanya masih dikekalkan dalam kontrak bagi membolehkan wang pendahuluan diperoleh daripada pengedar muzik, sedangkan isu pembayaran royalti kepadanya masih belum selesai.
“Empat tahun royalti tertangguh. Aku sudah DM keseluruhan ahli tetapi tiada maklum balas sampai sekarang,” katanya.
Beliau turut memuat naik tangkap layar mesej yang didakwa dihantar kepada semua anggota K-Clique pada 1 Jun lalu sebagai usaha menyelesaikan perkara itu.
“Aku tidak sempurna, tetapi tentang hak dan titik peluh aku, aku kena bersuara. Sudah lebih empat tahun. Notis Tuntutan (LOD) otw. Aku beri korang peluang untuk selesaikan semua hak aku,” katanya.
Dalam masa sama, Tuju menegaskan bahawa tuntutannya bukan disebabkan perselisihan peribadi, sebaliknya berkaitan hak dan bayaran yang didakwa masih belum diterima.
Beliau turut menjelaskan tidak pernah mempertikaikan pembahagian royalti secara sama rata dalam kalangan anggota kumpulan itu, meskipun mendakwa dirinya memainkan peranan lebih besar dalam penghasilan lagu.
“Aku mengambil masa lebih kerana aku cinta seni dan percaya yang kamu semua adil dan matang,” katanya.
Tuju turut mengingatkan bekas rakan sekumpulannya supaya tidak mengabaikan hak individu lain, sambil menyifatkan perkara itu perlu diselesaikan secara matang memandangkan mereka kini sudah dewasa.
“Betul, macam mana buruk pun perangai kita, janganlah kita mengambil hak orang atau tidak membayar hak orang, titik peluh orang,” katanya.
Spekulasi mengenai pemergian Tuju daripada K-Clique mula timbul pada penghujung 2022, namun ketika itu beliau tidak memberikan penjelasan lanjut berhubung perkara berkenaan.
Hampir dua tahun kemudian, Tuju mendedahkan bahawa keputusan untuk meninggalkan kumpulan itu dan meneruskan kerjaya secara solo dibuat atas kehendaknya sendiri, namun memilih untuk tidak mendedahkan sebab sebenar keputusan tersebut.
Selain Tuju, K-Clique turut dianggotai MK, Noki, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








