Nilai rampasan balak di Ranau bukan RM2.68 juta – JPS
SANDAKAN – Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) menafikan dakwaan nilai dua lori membawa muatan balak yang dirampas di Ranau minggu lalu mencecah RM2.68 juta seperti yang tular di media sosial.
Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan berkata, berdasarkan semakan harga pasaran semasa bagi pemprosesan kayu kayan domestik, nilai sebenar balak yang dirampas itu hanya dianggarkan berjumlah RM31,600.
“Rampasan melibatkan dua lori yang membawa 59 batang kayu balak, hasil daripada pengeluaran pelesen sah iaitu Sabah Energy Corporation Sdn Bhd di Sipitang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penahanan dibuat dalam Operasi Khazanah oleh Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Rabu lalu, pada pukul 1.30 pagi di Kampung Randagong, Ranau.
Siasatan mendapati bayaran royalti berjumlah RM4,732 telahpun dijelaskan kepada kerajaan negeri.
Jelas Frederick lagi, tindakan penahanan dibuat kerana kedua-dua lori berkenaan tidak memiliki pas memindahkan balak dan tiada kebenaran untuk bergerak antara pukul 7 malam hingga 7 pagi, seperti yang disyaratkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.
“Atas kesalahan tersebut, pelesen telah dikenakan denda sebanyak RM1,600,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa JPS akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan bagi melindungi hasil hutan negeri serta memastikan semua aktiviti pembalakan dijalankan secara sah mengikut undang-undang dan garis panduan ditetapkan.
Terdahulu, tular dakwaan di platform digital yang mendakwa dua lori yang membawa muatan balak di Ranau itu bernilai jutaan ringgit, mencetuskan pelbagai spekulasi orang awam di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








