Lim Guan Eng persoal kontrak TuJu, persoal penglibatan ahli politik pembangkang
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mendedahkan proses tender, kos pembangunan dan pihak yang meluluskan kontrak aplikasi navigasi jalan raya TuJu yang dibangunkan Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) untuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, persoalan turut timbul berhubung latar belakang ahli lembaga pengarah PCSB yang didakwanya mempunyai kaitan dengan parti pembangkang, sedangkan mereka tidak mempunyai rekod kepakaran dalam bidang teknologi, kejuruteraan perisian atau pembangunan aplikasi navigasi.
Menurutnya, meskipun tiada kesalahan bagi ahli politik pembangkang memperoleh kontrak kerajaan, persoalan mengenai kelayakan teknikal dan pengalaman mereka perlu dijelaskan kepada umum.
“Adakah proses tender terbuka yang sewajarnya dilaksanakan dan penelitian terperinci dibuat, serta siapa yang meluluskan aplikasi navigasi TuJu yang gagal berfungsi dengan baik?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guab Eng berkata, sehingga kini orang ramai masih belum mendapat penjelasan mengenai kos pembangunan aplikasi berkenaan dan jumlah sebenar yang dibayar kepada PCSB.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mengesyorkan penggunaan TuJu bagi menggantikan Waze, sedangkan aplikasi itu didakwanya mempunyai pelbagai kelemahan sehingga sukar digunakan.
TuJu dilancarkan pada 26 November 2025 hasil kerjasama LLM dan PCSB, selepas dibangunkan sejak 2022.
Anwar sebelum itu dilaporkan melarang penjawat awam menggunakan Waze susulan kebimbangan berkaitan kedaulatan negara dan risiko keselamatan.
Guan Eng turut berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan demi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pemberian kontrak kerajaan terus dipelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








