BERITA SEMASA

Akmal mahu infakkan RM173,733 wang sumbangan kepada golongan memerlukan

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh berhasrat menginfakkan keseluruhan wang sumbangan orang ramai berjumlah RM173,733.61 kepada golongan yang lebih memerlukan.

Akmal berkata, wang berkenaan akan disalurkan kepada individu yang memerlukan bantuan termasuk untuk membaiki rumah dan menampung kos rawatan.

Menurutnya, beliau akan berkongsi perincian penggunaan wang berkenaan menerusi Facebooknya dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap sumbangan dimanfaatkan untuk membantu golongan sasaran.

“Jadi, jumlah RM173,000 yang telah disumbangkan kepada saya ini, saya nak minta izin kepada semua yang menyumbang untuk saya ambil dan infakkan sepenuhnya.

“Setiap sen yang tuan-tuan berikan kepada saya ini, saya akan infakkan sepenuhnya dan berikan kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya dalam satu rakaman video di laman Facebook hari ini.

Akmal berkata, beliau pada awalnya tidak berniat mengumpulkan sumbangan orang ramai, sebaliknya berusaha menjual aset miliknya bagi mendapatkan wang untuk melunaskan bayaran saman.

Beliau turut memaklumkan berjaya menjual sebuah motosikal pada harga RM150,000, manakala jualan ikan tilapia dari kolamnya mencecah hampir RM30,000.

“Hasil penjualan aset berjumlah RM180,000 itu, bersama simpanan beliau dan keluarga, dijangka mencukupkan jumlah hampir RM300,000 menjelang minggu depan,” katanya.

Akmal turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menghulurkan bantuan kewangan serta membeli aset miliknya bagi membantu beliau menyelesaikan tanggungjawab berkenaan.

Sebelum itu, mahkamah memerintahkan Akmal membayar ganti rugi RM250,000 kepada bekas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, selain RM50,000 sebagai kos guaman selepas didapati bersalah memfitnah beliau berhubung isu sijil halal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button