JENAYAH & MAHKAMAH

Enam lelaki ditahan, sindiket judi dalam talian sasar warga Australia tumpas

IPOH – Sindiket penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan warga Australia berjaya ditumpaskan selepas polis menyerbu sebuah rumah tiga tingkat di Kamunting, Taiping, Selasa lalu.

Serbuan pada pukul 8.05 malam itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, operasi itu membawa kepada penahanan enam lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 31 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Menurutnya, kesemua suspek dipercayai berperanan sebagai ejen mencari pelanggan dan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian dengan menerima bayaran antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Mereka dipercayai menggunakan pintu belakang rumah berkenaan untuk keluar masuk bagi mengelakkan pergerakan dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 18 telefon bimbit pelbagai jenama, 10 monitor, enam unit pemproses pusat (CPU) dan sebuah penghala rangkaian (router).

Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM35,000.

Mohd Alwi berkata, analisis terhadap komputer yang digunakan sindiket itu mendapati mereka menjalankan kegiatan penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan pelanggan dari Australia.

“Siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan aplikasi media sosial Telegram dan WeChat untuk berkomunikasi dengan mangsa,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan menawarkan perkhidmatan menerusi platform perjudian yang diwujudkan khusus untuk pelanggan mereka.

Antara platform yang digunakan ialah One2Bet-AUS, Roladoll-AUS dan Majesty777-AUS, dengan pakej permainan bernilai antara AUD30 hingga AUD200.

Sindiket itu juga dipercayai menggunakan akaun bank di Australia untuk menerima bayaran daripada pelanggan, manakala kad SIM dalam telefon bimbit yang dirampas menggunakan talian telekomunikasi negara berkenaan.

Lebih mencurigakan, katanya, sindiket berkenaan turut menggunakan gambar profil wanita Eropah bagi menarik minat pelanggan menyertai platform perjudian terbabit.

Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button