JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Perak laksana siasatan penuh susulan penemuan bom mortar di lebuh raya

IPOH – Polis Perak akan melakukan siastan penuh mengenai penemuan sebutir bom mortar di Kilometer 265 Lebuhraya Utara-Selatan, selepas Terowong Menora dekat sini, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, bom mortar itu ditemukan kakitangan lebuh raya PLUS ketika menjalankan kerja penyelenggaran di kawasan berkenaan.

“Kami masih menyiasat bagaimana ia boleh berada di situ, sama ada ia peninggalan dari Perang Dunia Kedua atau sebaliknya. Punca ia berada di sana masih belum dapat dipastikan. Siasatan masih dijalankan.

“Ia disahkan sebagai bahan letupan mortar yang biasa dirujuk oleh polis sebagai ‘buta’, iaitu istilah untuk bahan letupan yang tidak meletup,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis penganugerahan pangkat kepada pegawai kanan polis dan serah terima tugas Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Perak serta Ketua Polis Daerah Gerik dan Kerian, di sini hari ini.

Noor Hisam menambah, bom itu berjaya dimusnahkan Unit Pemusnah Bom Kontinjen Perak menerusi letupan terkawal setelah lalu lintas dilencongkan buat sementara di sebahagian lebuh raya itu.

“Terdapat kebimbangan bahawa letupan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya, jadi langkah berjaga-jaga adalah perlu,” katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahan letupan itu adalah peninggalan dari zaman perang.

“Negara kita mempunyai banyak sisa-sisa bahan letupan seperti itu kerana kita terlibat dalam Perang Dunia Kedua, serta Zaman Darurat. Ini sering ditemui di kawasan hutan atau luar bandar,” katanya.

Sehubungan itu, Noor Hisam turut menggesa orang ramai untuk berwaspada dan melaporkan sebarang objek yang mencurigakan atau tidak dikenali.

“Jika anda menemui apa-apa yang kelihatan berbahaya atau tidak pada tempatnya, jangan sentuh atau mengganggunya. Sila laporkan segera ke balai polis terdekat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button