Polis giat buru Namewee
KUALA LUMPUR – Polis sedang giat memburu penyanyi rap tempatan, Namewee bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan, di sini bulan lalu.
Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 42, dipercayai menghilangkan diri selepas penemuan jasad Hsien Yun Hsin, 31, di sebuah bilik di Hotel Banyan Tree, Jalan Conlay, pukul 1.40 tengahari, 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kes berkenaan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.
Fadil berkata, pihaknya yakin Namewee sudah mengetahui laporan siasatan kes berkenaan dan pencariannya menerusi laporan media rasmi serta media sosial.
“Setakat ini kami masih tidak dapat lagi mengesannya dan percaya dia sudah menghilangkan diri.
“Sebelum ini, kes kematian wanita berkenaan diklasifikasikan sebagai SDR, namun apabila diklasifikasikan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dia dipercayai menghilangkan diri,” katanya, hari ini.
Sebagai rekod, kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan mewajibkan pihak polis melakukan tangkapan ke atas individu yang disyaki dengan kes berkenaan.
Namewee dipercayai adalah individu terakhir yang berada bersama Yun Hsin, ketika jasad wanita itu ditemukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








